Cerpen : Temuduga Jawatan BINI Datuk
Oleh : Umi Kalsom
“SAFIRA!!!” nyaring suara Puan Mastura menjerit mengejutkan anak dara bertuah dalam rumahnya.“Safira oiii… bangunlah. Dah pukul berapa dah ni!” dengan volume paling maksima suara Puan Mastura bergema dalam rumah itu. Mahu bergegar satu pangsapuri dengan kenyaringan suaranya. Rasanya, jiran setempat pun boleh terjaga dengan gegaran suaranya, namun tidak bagi seorang anak dara yang sedang terbaring selesa dalam bilik di rumah itu.
“Safira… haish!!! Geram betullah aku dengan budak seorang ni. Mahu naik darah kalau terpekik macam ni hari-hari.” Pintu bilik Safira tinggal nak roboh saja. Sudah bagai nak rak Puan Mastura mengetuknya. Masa-masa beginilah dia akan lupa mana dia simpan kunci pendua pintu bilik.
“Safira!!!”
Akhirnya, setelah sejam terpekik dan terlolong bagai nak gila. Pintu bilik itu terkuak dari dalam. Wajah sememeh Safira dipandangnya tajam.
“Kenapa mak? Safi nak tidur lima minit lagi… kejap lagi mak kejut okey.” Sempat pula Safira membuat deal dengan emaknya yang sudah bengang tahap petala ke tujuh dengan perangainya.
“Safira!!! Tau tak sekarang pukul berapa? Ingat tak kamu tu ada interview hari ni? Kerjanya fikir tidur saja. Mana nak terbuka pintu rezeki kalau macam ni. Cuba bawa-bawa berubah sikit perangai tu. Kita ni bukannya orang kaya. Kalau tidur, duit takkan bertambah. Makin sedikit yalah.” Bebelan Puan Mastura sama seperti mencurah minyak panas ke hati sendiri. Safira sudah kembali berlingkar di atas katil.
“Ya Allah… aku mohon kesabaran dariMU… berikanlah aku kekuatan untuk melayan kerenah Safira ni!” doa Puan Mastura sambil mengurut dadanya. Semput rasanya melayan kerenah anak dara yang berusia 25 tahun ini.
Tanpa menunggu lama, Puan Mastura sudah bergerak ke belakang. Tidak sampai seminit kemudian dia sudah muncul dengan sebekas air. Ditambah dengan ketulan ais. Tubuh Safira yang begitu sedap mengerekot atas katil dipandang dengan perasaan yang sangat panas. Ringan saja tangannya mencurah air tadi ke atas muka Safira.
“Argh!!!” terus saja jeritan Safira pecah. Tiba-tiba saja macam termimpi hujan ais batu mengenai kepalanya. Buka saja mata, wajah Puan Mastura yang bengang bercekak pinggang berdiri di depannya. Dan, dia pun tahulah dari mana punca hujan ais batu itu.
****
KELUHAN meniti bibirnya. Nampak gayanya ini pun tidak akan berjaya juga. Masuk kali ini, sudah 20 temuduga dia hadiri tanpa putus. Namun satu pun tak nampak tanda-tanda hendak berjaya. Bosannya!!! Jerit hatinya.
Dengan fail di tangan, dia terus saja berjalan melalui bangunan tinggi yang berdekatan situ. Mana tahu, untung boleh jumpa iklan, walk-in-interview. Boleh juga dia hendak mencuba nasib.
“Kenapalah hidup Intan Safira Samad kena macam ni…” rungutnya perlahan. Itulah kerjanya. Pagi, petang, siang dan malam, tahu merungut saja. Bukannya nak bersyukur. Kalau dengar dek emak, mahu dibebelnya sampai lunyai gegendang telinga.
“Kamu tu Safira, tak ada usaha langsung nak ubah perangai buruk kamu. Macam mana nak cari rezeki, kalau 24 jam asyik fikir nak tidur saja.” Bebelan emak kembali menjengah di ruang telinga.
“Lepas makan, tidur. Lepas mandi, tidur. Lepas tengok TV, tidur. Bila masanya yang kamu takkan tidur. Kita ni bukan orang kaya Safira oi… kalau kita tak usaha cari rezeki, tak adanya rezeki nak jatuh gedebuk dari langit.”
Safira mengeluh lagi.
“Kan senang kalau ada rezeki yang jatuh gedebuk dari langit.” Gumamnya sendiri. Dan pada ketika itu…
GEDEBUK!!!
Bukan rezeki yang jatuh. Safira yang jatuh bagaikan nangka busuk saja. Punggungnya yang pedih ditepuk beberapa kali. Dijeling sekilas ke arah sekeliling. Nasib baik, tak ada orang. Kalau tak, jatuh saham aku! Itulah, kalau berjalan jangan berkhayal… kan dah jatuh.
Pantas saja dia bangun membetulkan dirinya. Suit hitam yang dipakai itu digosok-gosok sedikit. Sekali lagi matanya melilau di ruang depan bangunan yang sedang dia berdiri. Terpegun sejenak dengan dekorasi yang terdapat di ruangan lobi. Ringan saja kakinya melangkah masuk. Dengan pakaian ala korporat yang tersarung di tubuhnya agak membantu bila pengawal yang bertugas di situ tidak berkata apa-apa.
Entah apa yang dia hendak cari di situ, dia pun tidak tahu. Ikut saja rentak kakinya, sehingga dia tiba di satu sudut. Matanya pantas saja menangkap kelibat sejumlah wanita muda yang sedang duduk seperti menunggu giliran.
‘Macam ada temuduga saja.’ Desisnya sendiri. Bibirnya sudah mengoyak senyum segaris. Inilah yang dicari-cari. Tak sia-sia jatuh ‘gedebuk’ macam nak patah pinggang tadi. Kakinya sudah diatur mendekati gadis yang sedang duduk di kaunter ruang yang tertutup itu.
“Cik…” sapanya mesra. Gadis itu kelihatan terkejut. Kenapa? Dia tidak mengerti.
“Ya… ya… ada apa yang boleh saya bantu?” tergagap-gagap gadis itu menyoalnya.
“Sini ada interview ke?” ramah saja dia menyoal. Sudahlah main aci redah saja. Entah company apa, apa pun dia tak tahu. Dilihatnya yang hadir di situ semuanya perempuan muda-muda belaka. Ini interview jawatan apa? Setiausaha ke?
“Err… ya. Cik ni, antara yang tersenarai ke?”
“Tak adalah. Saya saja datang menjenguk. Ada kosong lagi tak… boleh saya nak mencuba nasib sekali.” Suka hati mak bapak kau saja Safira. Ah! Biarkan… asalkan aku berusaha nak kerja.
“Err… maaf ya cik. Bukan tak boleh… tapi…”
“Kenapa?” laju saja dia menyahut. Macam teragak-agak saja gadis itu membenarkannya. Temuduga apa sebenarnya ini? Dia kembali musykil.
“Temuduga ni, misi rahsia sebenarnya.” Suara gadis itu berbisik padanya. Mulutnya yang terkatup rapat tadi, terbuka sedikit. Terkejut. Misi rahsia? Wah… macam mission impossible pula.
“Jawatan apa sebenarnya ni?” dia makin minat.
“Saya tak boleh beritahu cik… maaf.” Wajah gadis itu serba salah.
“Alah… kalau saya pun nak di interview sekali, takkan awak tak boleh bagi tahu… tolonglah cik. Mana tahu rezeki saya untuk kerja ni… saya belanja awak makan, confirm!” Eceh! Kerja pun tak dapat lagi, dah mula menabur janji. Bagus betul sifat pemurah tak kena tempat kau ni Safira.
“Rumit cik.” Gadis itu sedaya boleh merahsiakan sesuatu darinya. Tapi… ah! Usaha tangga kejayaan. Kakinya sudah melangkah sehingga ke sini, takkan hendak berpatah arang begitu saja. Berpatah arang? Apa yang aku merepek ni. Berpatah balik la…
“Kenapa? Saya betul-betul berminat ni… tolonglah cik…” rayunya lagi. Dalam kepalanya hanya terfikir satu saja, dia perlukan kerja. Kalau tak, jenuh kena tadah telinga nak dengar leteran emak.
“Cik… tunggu sekejap ya.” Dilihatnya gadis itu sudah hilang di sebalik dinding kaca yang berada di situ. Siapa yang ada dalam bilik tu? Bos besar ke? Kalau dia nampak aku punya bersemangat nak temuduga, agak-agak dia accept tak?
Pandangannya berlari-lari di keliling. Cantik sungguh. Mewah. Class.
“Cik…” gadis tadi sudah mula memanggilnya. Dia tersenyum manis. Nak minta kerja kan… muka kena sentiasa manis mengalahkan gula Prai. “Isi borang ni dulu… lepas tu cik boleh tunggu giliran.” Matanya sudah membulat. Wah!!! Maknanya… dapat peluang.
“Boleh saya tanya cik… jawatan apa yang dipohon ni?” soalnya sambil mengisi ruangan yang disediakan. Matanya diangkat dan bertembung dengan wajah gadis itu. Jelas terserlah kegugupan di wajah itu. Kenapa? Interview apa sebenarnya ni? Suspen sungguh…
Dikerling sekilas pada mereka yang hadir untuk temuduga itu. Matanya jatuh pada satu-satu pakaian mereka. MasyaAllah… mewah habislah. Aku ni… setakat suit hitam ala-ala bini Man In Black. Ada pun satu suit ni saja nak buat pakai interview. Nak buang duit beli banyak-banyak… buang tabiat. Kerja pun tak ada jadi tak perlu nak berangan tinggi sangat.
“Kerja apa ya cik?” soalnya sekali lagi.
“Err… jawatan, untuk jadi bini Datuk.”
WHAT!!! Matanya terbuka luas. Ini bukan mimpi kan? Mujur saja tiada jeritan yang lahir dari bibirnya. Kalau tak, mahu kecoh satu pejabat.
“Bini Datuk???” soalnya tidak percaya. Gadis itu mengangguk.
Dia sudah terpana. Biar betul…
“Kalau lulus temuduga?”
“Kena jadi bini datuklah.” Tenang saja gadis itu menjawab. Sedangkan dia… terkelu lidah. Memanglah tengah desperate nak cari kerja. Tapi tak adalah desperate nak kena kahwin dengan datuk.
“Err… cik, tak jadilah.” Tolaknya. Takut pula. Mahu betul kena kahwin dengan Datuk. Kalau muda tak apalah juga, tapi kalau tua kerepot ala datuknya yang sudah masuk ke dalam tanah, kirim salam sajalah.
Dia baru saja nak berpaling, tiba-tiba saja sudah ada dua orang lelaki berbadan sasa menghalang jalannya. Ah sudah! Ini babak dalam drama mana pula. Sudahlah keduanya lengkap berbaju hitam, tinggi, berkaca mata hitam. Bibir tu… langsung tak reti nak senyum. Bodyguard ke?
“Cik takkan dapat keluar dari sini selagi cik tak ditemuduga.” Gadis tadi bersuara kembali.
“Tapi saya tak nak.” Itulah kau Safira… tak ada kerja, menempah bahana pula.
“Tadi saya boleh lepaskan, tapi cik berdegil. Sekarang, kalau cik meraung menangis sekalipun, cik takkan terlepas dari sini. Datuk kami pun macam dah berkenan dengan cik.” Berpeluh-peluh dahi Safira apabila mendengar ayat yang terakhir. Datuk? Oh tidak… saya tak nak kahwin dengan datuk. Saya cuma nak cari kerja saja.
“Untung kalau cik lulus temuduga ni… elaun bulanan saja dah lima ribu. Ditambah lagi dengan pakej pelancongan luar dan dalam negara. Kereta peribadi. Pakaian eksklusif. Semuanya akan menjadi milik cik.” Promosi yang begitu mewah sekali tidak pun berjaya mengusik hatinya. Dia memang nak cari duit. Tapi… tak nak lah dengan kaedah ni. Gaya macam mistress pula. Kalau emak tahu, kena siat-siat rasanya.
“Kamu ni Safira, aku suruh keluar cari kerja… yang kamu pergi cari jawatan bini datuk tu kenapa!” Rasanya ayat ini yang bakal diucapkan emak padanya. Aduh! Menakutkan la pula.
“Cik, sila tunggu giliran di sana ya.” Senyuman manis di bibir gadis itu hanya mengusarkan hati Safira. Menyesal sudah. Itulah… lain kali, jangan main redah saja. Tengok… apa dah jadi sekarang. Jawatan bini Datuk… aduh! Redha sajalah. Harap-harap ini merupakan temuduga ke-21 yang dia takkan lepas. Kali ini dia benar-benar mengharapkan perkara itu terjadi walaupun sudah muak.
****
BAGAIKAN dipanah kilat saja. Tersentap jantungnya. Terduduk Safira di atas katil apabila membaca kiriman mesej daripada nombor yang tidak dikenali.
Mesej yang berbunyi,
TAHNIAH bakal DATIN. Anda antara calon sepuluh teratas terpilih untuk saringan kedua bagi. Anda diminta untuk menghadiri sebuah sesi taklimat yang akan diadakan di bilik Anggerik, Bangunan Perlima. Pada tarikh, 26 Jun, 8.30 pagi. Kehadiran adalah diwajibkan. Jika salah seorang dari anda tidak sampai di tempat yang dikehendaki, akan ada yang datang mencari anda di tempat anda sendiri. Jadi… pilihan bukan di tangan anda. Have a nice day.
Apakah yang patut aku lakukan. Gila ke apa! Saringan ke-2. Ini nak cari bini ke nak cari apa? Perlu ke sampai saringan kedua. Dan kenapa pula nama aku tersenarai dalam top ten dalam benda alah macam ni. Aduh!!! Macam mana nak cakap dengan mak. Macam mana… gila! Gila! Gila!
Ayat yang terakhir itu makin menyesakkan dada. Pilihan bukan di tangan anda. Gila ke apa datuk tu? Main paksa-paksa pula nak cari orang jadi bini dia. Adakah Intan Safira memang wujud di atas muka bumi ni untuk cari masalah. Ini yang orang cakap, tak sampai ajal lagi… tapi gali kubur sendiri. Memang masalah betul.
****
“APA???” reaksi Puan Mastura sememangnya sudah dijangkakan oleh Safira dari awal lagi.
“Apa yang kamu merepek ni Safira? Bini datuk apa kejadahnya? Mak suruh kamu pergi cari kerja… bukan suruh cari datuk nak buat laki… faham?”
“Safi faham mak… tapi hari tu, kebetulan saja Safi nak mencuba nasib, tak sangka pula terpilih… jadi esok Safi kena pergi juga dengar taklimat yang dia orang nak bagi.”
“Tak ada… tak ada… jangan nak merepek!!! Esok kamu keluar pergi cari kerja.” Safira menelan liur. Emak begitu tegas nampaknya. Tapi…
“Mak… kalau Safi tak pergi, nanti ada orang yang datang rumah kita.” Dahi Puan Mastura berkerut. Entah apa yang direpekkan anaknya ini.
“Mak baca ni…” dihulurkan telefon bimbitnya pada Puan Mastura. Kiriman SMS pagi tadi ditunjukkan.
“Safira oi… mak tak tahulah nak cakap apa dengan kamu. Kamu ni anak mak seorang… kalau apa jadi dengan kamu, mak nak buat apa… yang kamu pergi ikut serta temuduga tak kena gaya ni kenapa? Kita bukan kenal dengan orang-orang tu… Safira… mak dah tak larat nak risau pasal kamu. Mak kalau boleh nak tengok Safira hidup senang sebelum sampai ajal mak.” Aiseh… emak sudah mula memainkan ayat melodrama. Ini yang buat Safira nak meleleh sekali. Tapi, untuk itu kiriman SMS yang diterima tidak boleh diabaikan begitu saja.
“Tapi mak… Safi kena pergi juga esok!” berat juga hatinya untuk menurut perintah SMS itu, tetapi terpaksa.
“Suka hatilah kamulah Safira.” Puan Mastura sudah bangun meninggalkan meja makan. Safira melepaskan keluhan kecil. Aduh!
‘Wahai datuk… siapakah kau sebenarnya?’
****
“CIK INTAN Safira Samad!” namanya dipanggil sebaik saja melangkah ke dalam ruang itu. Kelihatan seorang wanita yang anggun sekali gayanya sudah mula mendekati. Safira gugup sendiri. Sudahlah datang sini pun tak rela. Jangan ada yang nak buat kacau tak kena gaya pula.
“Ikut saya… Datuk nak jumpa.” Sambil tersenyum manis wanita itu menyampaikan hasratnya. Safira tergamam. Da…da… datuk nak jumpa? Gila! Rasa macam nak pecut balik sekarang juga.
“Kenapa nak jumpa sekarang? Taklimat belum mula lagi. Saringan kedua masih ada kan?” soal Safira gopoh. Kerana seingatnya, dia ada diberitahu hari itu, setelah keputusan muktamad dibuat, barulah individu berkenaan akan dipertemukan secara face-to-face dengan Datuk itu.
Seram sejuk badannya. Adakah ini memberi jawapan bahawa… dia dapat jawatan bini Datuk? Gila!!!
Dalam pada berperang dengan hati sendiri, Safira menurut saja langkah wanita anggun tadi. Matanya meliar di sekeliling bangunan itu. Semuanya mewah belaka. Tapi dia bukanlah fikirkan kebendaan sangat. Dia cuma mahu cukup makan, pakai dan tidur saja. Mak, tolong Safi!
“Cik Intan Safira, duduk di sini dulu… sekejap lagi akan ada orang yang datang jemput awak.” Wanita anggun itu sudah menghilangkan diri di balik pintu. Safira melihat sekelilingnya dengan perasaan yang dia sendiri tidak mengerti. Semuanya gah! Semuanya mewah! Mahu kabur saja matanya dipanah sinaran dari segala benda yang terletak dalam bilik itu.
Tudung yang tersarung di kepala dibetulkan. Sebenarnya tidak terfikir untuk berbuat begitu pun. Namun kerana hatinya terlalu gundah tak kena gaya, dia ikutkan saja tindakan dirinya yang tengah gabra gila.
Sekejap lagi, datuk bakal jelma ke? Apa agaknya rupa dia? Tua kerepot? Atau tua sedang-sedang. Kalau tua sedang-sedang, aku nak terima ke? Jangan nak merapu! Aku tetap tak nak! Datuk… oh Datuk…
“Here you are.” Gulp! Safira dah seram sejuk. Dia belum mengangkat pandangan matanya lagi. Suara itu hanya membuatkan dia rasa nak cabut lari saja. Itukah… Datuk?
“Intan Safira Samad.” Kali ini, suara itu benar-benar berhadapan dengannya. Dengan semangat yang dikuatkan, dia memanggung kepala. Wajah Datuk yang sedang tersenyum berlayar di ruang mata. Dan dia… tuuuttt!!! Black out.
****
“GET her some water please.” Ayat itu jelas kedengaran di telingan Safira. Namun dia tidak punya kekuatan untuk membuka mata. Dia pengsan dan separa sedar. Aduh!!! Macam mana boleh pengsan pula.
Argh!!! Mana tidaknya… ini semua gara-gara terpandang wajah Datuk tadi. Macam mana Safira nak describe wajah seseorang yang… argh!!! Dia rasa nak menjerit kuat-kuat. Takkan ini takdirnya. Weh… handsome lagi datuk aku.
“Intan Safira… are you alright?” I’m alright Datuk. Asalkan Datuk jangan tunjuk muka depan saya, I definitely will be alright.
“Miss Suzy… take a look at her. I want to make a call.” Datuk ni tak reti speaking Malay ke? Sempat lagi Safira berdesis. Tak padan dengan separa pengsan.
“Cik Intan Safira.” Ini mungkin suara Miss Suzy. Perlahan-lahan Safira cuba membuka matanya. Dikerling ke arah kiri dan kanan bagi memastikan Datuk sudah nyah dari pandangan mata.
“Awak okey?” soal Miss Suzy. Riak wajah itu risau saja.
“Okey… mungkin sebab tak sempat sarapan tadi. Itu yang pening sikit.” Alasan zaman cabuk mana kau pakai ni Safira. Habis, yang tadi pagi, membedal dua bungkus nasi lemak tu… bukan kau ke?
“Miss Suzy, is she okay?” Safira yang tadinya macam dah okey, rasa macam nak pengsan semula. Datuk tadi sudah muncul di depan mata. Mak!!! Ini ke bakal suami anak mak? Takkan…
“You okay Intan Safira?” lemah saja Safira mengangguk. Dia nak buat-buat pengsan semula pun tak boleh. Datuk sudah terpacak di depan matanya.
“Okay Datuk, saya minta diri dulu.” Miss Suzy sudah bangun dan melangkah hendak keluar dari bilik. Safira cuak! Takkan ditinggalkan aku berdua dengan Datuk ni saja. Dia orang ni main pakai akta apa? Langsung tak faham.
“Intan Safira.” Masuk ini sudah berapa kali Datuk ni asyik sebut nama penuh aku. Naik rimas la pula.
“Panggil Safira saja Datuk.” Balasnya dengan sopan. Walaupun tak suka. Tapi imej diri sendiri kena jaga. Mana tahu, untung tak dapat jadi bini, boleh dia ambil aku buat menantu. Sedap sikit aku mendengarnya. Angan-angan buah berangan la Safira… Datuk ni ada anak lelaki ke? Kalau ada… baguslah. Boleh aku lepaskan nafas lega.
“Okay Safira… I’m sure you already know why you are here.” Safira mengangguk. Dalam kepala tak henti-henti berfikir. Apa ke susah sangat Datuk ni nak berbahasa Melayu. Ke dia dah lama tak tinggal di Malaysia.
“Anything to ask before I proceed to my speech?” Safira ternganga sedikit. Speech apa pula dah? Mahu tertidur aku dekat sini.
“Datuk… err… maaflah kalau saya nak bertanya, Datuk ni… tak boleh cakap BM ke?” sebaik saja mengajukan soalan, laju juga Safira mengetap bibirnya. Sebenarnya soalan itu terlintas dalam hati saja, tapi tak sangka boleh terluah dengan jayanya.
Mujur saja Datuk hanya tersenyum. Manis pula aku tengok senyuman dia, terimbau kenangan dengan tok wan aku dulu. Safira tersenyum dalam hati.
“Safira tak selesa ke kalau saya cakap English?” sekali lagi Safira terlopong. Patutlah dia cakap English, sebab BM dia pun slanga English juga.
“Err… mana-mana pun boleh Datuk. Ikut keselesaan lidah Datuk.”
Datuk tersenyum lagi. Dan lagi sekali… Safira rasa macam tengah tengok tok wan dia juga. Alahai… ini ke Datuk yang nak dibuat suami? Asal tengok muka dia, nampak muka tok wan… memang sah lah aku takkan approve dia jadi calon suami aku.
“Pandai Safira bergurau… sebab tu Datuk suka.”
Erk! Hampir saja tercekik Safira mendengarnya. Datuk suka saya… oh Datuk… saya tak berapa nak suka la dengar statement itu. Harap maaf!
“Okay… first of all, my name Datuk Akhbar Ahmed Shafie… you can call me with any name that you prefer…” Safira terangguk-angguk. Dalam kepala… speech dah mula ke?
“Disebabkan Safira dah terpilih untuk jadi calon isteri kepada Datuk…” Safira telan liur. Isteri?! Dia berpeluh-peluh mendengar ayat itu. No way man!
“I would like to run a test on you.” Pulak dah! Safira diam, tekun mendengar. Test. Test. Testing 1, 2, 3… aku akan pastikan aku gagal dalam semua test yang dia nak buat ni. Semangat Safira menanam azam dalam hati.
“And the test starts now.” Safira tersentak. Dan apakah test tersebut?
“And will continue until the end of this month. That means, you have to stay with me for a month.” Membulat mata Safira. Gila ke apa Datuk Akhbar Ahmed Shafie ni! Hah! Ambik kau… sekali nama penuh dia aku sebut.
“Datuk… saya minta maaf. Saya rela tolak offer Datuk ni daripada saya buat something yang saya tak suka.” Jujur balasan dari Safira. Tak ingin aku main-main tinggal dengan Datuk yang aku tak kenal ni. Huh! Bukan boleh percaya pun. Walaupun wajah Datuk ni nampak macam tok wan… tapi, jangan terpedaya Safira!
“Datuk ingat saya ni apa hah!” marah Safira. Kan tak pasal-pasal aku dah angin! Suka hati moyang Datuk saja buat kaedah cari bini macam ni.
“Relax Safira… you’ve just pass the first test.” Safira tersentak lagi. Sekali lagi Datuk tersenyum manis. Nampak muka tok wan lagi. Aduh!!!
“I like the way you talk. Very honest.” Puji Datuk. Safira tersenyum kelat. Cis! Ku sangka nak gagal… rupanya lulus pula.
“Jom… ikut saya. Ada banyak lagi test yang menanti… dan Safira, pastikan awak bersedia, because the test just come without any notification.” Datuk senyum lagi dan lagi sambil menyudahkan ayat itu. Safira cuma membalasnya dengan senyuman nipis.
“Err… Datuk, sebelum tu… saya ada lagi satu soalan.” Pantas Safira menahan langkah Datuk.
“Kalau lulus semua test, kena jadi bini Datuk ke?” teragak-agak Safira menyoal. Datuk tersenyum.
“Macam itulah kisahnya.” Erk! Kisah apa pula dah? Kisah gadis berusia 25 tahun bernikah dengan Datuk A selepas lulus temuduga dengan cemerlang, itukah kisahnya? Aduh!!! Sungguh aku tak suka kalau itulah kisahnya. Al-kisah… mohon segera tamatlah kisah ini.
****
“IF I ask you to choose between day and night, which one will be your choice?” Safira yang sedang menyuap nasi goreng kampung ke dalam mulutnya tersedak kecil. Dengan rakusnya dia meneguk fresh orange dalam gelas.
“Dua-dua kot.” Jawapan orang malas nak berfikir.
“I ask you to choose, you can’t have both of them… only one.” Tegas suara Datuk. Safira menelan liur. Masuk ini sudah soalan ke berapa ribu dia ditanya oleh Datuk. Dan yang peliknya, kalau Safira bagi jawapan macam tak kena gaya pun, Datuk akan balas macam ini, “I like the way you think… very intelligent.” Intelligent la sangat kan… aku ni dah la kategori otak suam-suam kuku saja. Kalau exam dekat universiti dulu, jawab pakai hentam saja. Keluar result pun… macam muka dia juga la… setakat atas pagar untuk sandang anugerah dekan.
Safira diam, berfikir. Sambil-sambil itu matanya mengerling pada Datuk yang begitu berselera menjamu nasi putih tomyam di gerai makan pilihannya. Kalau ikutkan taste Datuk, asyik-asyik menyuruhnya ikut ke hotel sana-sini. Sudahlah makan tak puas. Alih-alih ditariknya Datuk untuk mengikut citarasanya. Tapi, tak tersangka… tindakan untuk membantutkan niat Datuk untuk berbinikan dirinya semakin positif. Datuk cakap… argh!!! “Bagus… Safira tak teragak-agak nak ajak orang ikut cara Safira. Datuk suka.”
Tapi Safira tak suka!!! Entah bila dia nak luahkan kenyataan itu. Tunggu tempoh 30 hari tamat dulu ke, baru nak cakap.
“Safira… what takes too long to give the answer?” soalan Datuk menyentakkan minda Safira. Dia bukan fikir jawapan. Dia tengah fikir bila nak cakap yang kalau dia pandang muka Datuk, dia asyik nampak wajah tok wan saja. Cumanya, tok wan lagi comel dari Datuk. Dan Datuk pula, mungkin bergaya lagi dari tok wan lah… iyalah kan. Besar bezanya, orang yang berkain pelikat 24 jam di rumah dan orang yang bersut, berkemeja ala-ala korporat.
“Saya tak nak jawablah Datuk… susah sangat soalannya.” Bukan susah, tapi dia dah letih nak fikir jawapan yang akan buat Datuk reject dia.
Datuk tergelak kecil. Alahai… wahai Datuk, semua tingkah Datuk hanya membawa bayangan tok wan pada saya.
“You want it both?” Safira berfikir sejenak. Kalau nak dua-dua, nampak tamak bukan. Mesti Datuk ingat dia ni spesies nak bolot harta. Pasti saja Datuk takkan approve dia untuk jadi calon bini. Ting! Kau memang bijak lagi sana Safira. Tanpa berfikir panjang, Safira mengangguk.
Datuk tersenyum. Safira terkedu lagi. Takkan jawapan ni pun dia suka juga. Argh!!! Tension la macam ni.
“We need both of them Safira. Itu salah satu kesinambungan hidup. Bila tenggelam pagi, malam pula muncul. Keduanya akan diperlukan manusia, supaya kita akan tahu tentang kekuasaan DIA. Betapa hebatnya ciptaan DIA.” Kelu lidah Safira.
Kenapa? Mengapa? Bagaimana? Semua persoalan sesak dalam kepala. Datuk asyik nampak kelebihan saja dari sudut apa pun. Dia pun manusia biasa juga. Pasti saja ada kelemahan di mana-mana. Kenapa tak ada satu kelemahan pun yang dapat menarik perhatian Datuk ni? Aduh! Lemah pula rasa denyutan jantungnya.
Datuk masih tersenyum…
‘Tok wan…’ desis Safira.
****
SUDAH hampir tiga jam dia menunggu. Janji pukul dua, sekarang tinggal lagi lima minit nak menginjak ke jam lima. Ikutkan hati, dia nak balik saja. Tapi mak kata, janji jangan diingkari. Terpaksalah Safira terpacak di sini menunggu Datuk tak muncul-muncul.
Lantas dia kembali melabuhkan punggung di sofa yang telah sedia ada di ruang lobi bangunan yang dia datang interview jawatan bini Datuk itu. Sekejap-sekejap jam di tangan ditelek. Dia mengeluh lagi.
“Mak nampak, Safira sekarang dah makin berubah.” Komen Puan Mastura terngiang di telinganya. Berubah riak wajah Safira. Berubah yang bagaimana?
“Dah makin teratur jadualnya,” sambung Puan Mastura lagi.
“Wajah makin berseri… sebab nak kahwin dengan Datuk ke Safira?” Erk! Safira tersengih kelat.
“Kalau mak nak tahu… hari-hari Safi guna macam-macam taktik nak bagi Datuk reject Safi. Tapi asyik tak mengena saja… semuanya dia nampak betul.” Luah Safira dengan keluhan panjang.
“Kalau mak datang jumpa dia kan bagus… boleh mak cerita yang anak mak ni sebenarnya tak layak dibuat bini…” Safira mengerling ke wajah Puan Mastura yang sudah merenungnya tajam.
“Mak mana yang sanggup buka keburukan anak sendiri dekat orang luar.” Cukup sebaris ayat untuk Safira menzipkan mulutnya. Tahulah yang dia tersilap berkata. Tengok… kalau dengan mak, selalu saja tak kena. Tapi kenapa dengan Datuk tu lain pula jadinya.
“Safira, pandai-pandailah jaga diri. Safira ni perempuan, keluar pula dengan orang berpangkat… lagi satu, soal kahwin ni masa depan Safira. Mak tak halang Safira pilih sendiri, tapi kalau dah gaya kena kahwin dengan Datuk yang Safira kata, tengok muka dia… kamu nampak muka tok wan, mak nasihatkan… kamu terus terang sajalah dengan Datuk tu.”
“Safira.” Panggilan itu menyentakkan Safira dari lamunan. Wajah Datuk yang sedikit pucat menyapa pandangannya.
“Eh, Datuk… tak sihat ke?” soalnya terus. Bukan nak buat-buat simpati, tapi secara spontan pula soalan tu buat dia nampak macam baik hati. Segarit senyuman dari bibir Datuk memberikan jawapan kepada persoalan dalam mindanya. Sekali lagi, dalamannya menjerit hampa!!! Kenapa dia perlu menunjukkan yang dia terlalu prihatin.
“I’m okay. Sorry Safira… lama tunggu kan?”
“Tiga jam jugaklah saya tunggu Datuk dekat sini. Sampai ingat nak balik dah.” Selamba tanpa perasaan Safira membalas. Mungkin kali ini boleh berjaya. Tetapi… jangan kata tidak juga. Datuk sudah tersenyum… aduh! Nasib kaulah Safira.
“Today is the second last day, before the final day tomorrow.” Tenang Datuk berkata. Safira sudah menelan liur. Jangan kata the day after tomorrow, kami kena nikah pula. Serius, aku akan lari sampai ke hujung benua.
“I have a place to show to you. Come.” Macam biasa, Datuk memang akan mengajaknya ke sana sini. Dan dalam proses itu, entah berapa banyak test yang dah berjalan dengan lancar. Safira tak sedar pun. Tup! Tup! Datuk cakap… you have passed the test. Dan dia… terlopong, bila test nya? Dia tak sedar pun.
Dalam kereta, driver Datuk memandu dengan tenang. Sekali sekala Datuk terbatuk kecil. Tersentuh hati Safira melihat keadaan Datuk. Dalam bayangannya teringat arwah tok wan yang tenat di depan matanya. Kan sejak hari pertama lagi dia pandang Datuk macam pandang tok wan. Sampai ke hari ini masih sama semuanya.
“Datuk… kalau Datuk tak sihat, kita tak payah pergi mana-mana.” Kali ini ikhlas dari hati Safira berkata. Dia jadi tak sampai hati bila asyik terbayang arwah tok wan yang juga terbatuk-batuk begitu di hujung nyawanya.
“Nevermind Safira… we just have a day before tomorrow.” Datuk tersenyum tenang memberi jawapan. Safira tersenyum kelat. Dalam diam, dia kagum dengan Datuk. Sentiasa cergas saja, walaupun dalam perkiraan Safira, rasanya umur Datuk sudah mencecah usia 70-an. Iya ke? Entahlah… aku main agak saja. Tak pernah tanya pun soalan berkenaan umur dengan Datuk ni.
Sampai saja di destinasi, Safira tergamam. Mak aih… apa ni? Mahligai ke? Dikerling ke arah Datuk di sebelah. Datuk tersenyum.
“Datuk… ni rumah ke, istana? Datuk tinggal dengan siapa semua dalam ni? Ish… naik seram pula saya tengok rumah besar-besar ni.” Mulut Safira tanpa dapat dikawal meluncurkan kata-kata. Apabila Datuk melepaskan tawa, Safira sudah mengetap bibir. Kenapalah… mulut ni selalu mendurjanakan tuan badannya.
“Safira tak suka rumah besar?” Safira diam. Ini test ke? Rasanya dia lebih rela mendiamkan diri daripada memberi jawapan. Sebab, ada saja yang Datuk suka dengan jawapannya.
“Jom… ada yang nak dikenalkan dengan Safira.” Datuk sudah mula keluar dari perut kereta apabila pintunya dibuka. Safira menelan liur. Entah siapa pula yang hendak dikenalkan padanya. Risau pula memikirkannya.
Entah-entah, anak-anak dia? Mungkin nak minta restu… ‘Anak-anak sekalian… daddy nak kahwin dengan Intan Safira. Mohon restu dan doa.’ Oh tidak!!!
Dengan perasaan gementar, Safira turutkan juga langkah Datuk. Satu lagi perkara yang Safira suka dengan Datuk… dia tidak pernah mengambil kesempatan terhadap dirinya. Mungkin itu juga faktor Safira senang mengikut Datuk ke mana saja. Tak ada langsung, adegan terbuat-buat pegang lengan. Tercuit sana-sini tak kena gaya. Oh… langsung tiada. Ini Datuk, sangat decent orangnya. Memang kena dengan gaya yang dibawanya.
“Come in Safira… everybody is waiting for you.” Dan saat itu, makin seram dan sejuk tubuh Safira. Everybody? Berapa body sebenarnya yang tengah menantinya dalam mahligai ini?
“She’s here…” ucap Datuk sebaik saja melangkah ke dalam. Safira dengar dengan jelas walaupun dia belum melangkah ke dalam lagi.
Baru langkah setapak, dirinya diserbu. Bukan satu dua body. Rasanya dah lebih dari dua puluh body dah yang ada di situ. Semua ni kerabat Datuk ke?
“Hai Intan Safira.” Safira dengar saja. Muka orang yang menyebutnya entah mana. Dia tak dapat nak lihat. Sebab, semuanya berkerumun di hadapannya.
“Hai kak Intan.” Yang ini entah siapa pula.
“Hai Safi.” Yang ini mungkin berani sikit. Baru sekali jumpa, sudah pandai men-shortform-kan namanya. Suka hati Datuk dia saja!
“Everybody… don’t make crowd. You’re just making her feels not comfortable.” Suara nyaring siapa entah, Safira tak tahu. Tapi suara itu telah berjaya meleraikan kerumunan manusia di hadapannya. Fuhhh!!! Lega… dah gaya macam artis pula sekejap tadi.
“Ini ke orangnya?” soal seorang gadis berbaju kurung kuning cair. Safira tersenyum kecil. Dia tak tahu nak jawab apa. Tunggu Datuk tolong jawab sajalah.
“Yes… semua orang, okey ke dengan Intan Safira?” soal Datuk. Safira pandang kiri kanan. Ini apa? Sesi mengundi ke? Berapa orang suka? Berapa orang tak suka? Kalau ikut suara majoriti, tak suka… maknanya dia akan kena tendang keluar… ah, bagusnya! Safira tersenyum dalam hati.
“Kami semua suka!!!” sahut gabungan suara dalam rumah itu. Safira hampir nak pitam. Ini spesies manusia dari planet mana? Dia orang tak kenal dengan aku pun, tapi boleh pula tiba-tiba suka. Dilihatnya, Datuk sudah tersenyum suka. Masalah besar ni. Takkan Intan Safira akan menyandangan gelaran Datin Intan Safira tak lama lagi. Walaupun sedap dan gah bunyinya, tapi… dia tak rela!!! Jerit hatinya.
****
HARI yang dinanti-nanti, telah pun tiba. Dia nekad… hari ini, segala yang tersarang labah-labah dalam hati, akan diluahkan.
Seawal jam sepuluh pagi, driver Datuk sudah datang menjemputnya. Bahagia kan hidup macam ni. Pergi mana berjemput, berhantar. Tak fikir susah. Tapi… tak ada rasa cinta, tak guna juga. Sudahlah pandang muka Datuk… asyik nampak tok wan. Nak approve jadi suami macam mana. Hish!!! Nauzubillah…
Sebaik saja sampai di bangunan yang sama, Safira sudah mula melangkah ke tempat yang telah dijanjikan. Dengan sepasang baju kurung berwarna pink tersarung di tubuhnya membuatkan dia kelihatan comel dan muda. Bukan apa… mungkin ini dapat menyindir secara halus pada Datuk, bahawasanya aku ini seorang gadis yang terlalu muda, sebaya dengan cucu-cucu dia saja pun. Takkan aku nak diajak buat bini pula.
Wajah ceria Miss Suzy menyambutnya. Safira sekadar tersenyum nipis. Dia perlukan kekuatan untuk menyatakan kebenaran tanpa menguris hati Datuk secara berlebihan. Iyalah, Datuk baik sangat. Layan dia macam cucu saja. Entah-entah, aku saja fikir dia layan aku macam cucu, tapi dia fikir aku ni bakal isteri. Bahaya! Bahaya!
“Yang ditunggu-tunggu… dah tiba.” Ceria suara Miss Suzy memaklumkan. Wajah Datuk juga kelihatan ceria. Mungkin sudah sihat sedikit. Dalam diam, Safira berasa lega. Lega sebagai status seorang cucu.
“Come Safira… take a seat first.” Safira sudah melangkah dan melabuhkan punggung bertentang dengan Datuk.
“So… today, is the day…” Datuk sudah mula berucap agaknya. Desisnya sendiri.
“Give me a sincere answer Safira… have you been waiting for this day to come?” laju Safira mengangguk. Seperti biasa Datuk tersenyum.
“And why?” jawab Safira. Jawab dengan jujur.
“Sebab… saya nak cakap, yang saya tak boleh kahwin dengan Datuk.” Akhirnya. Terucap juga.
“Why Safira?” serius saja Datuk menyoal. Alamak! Dia kecewa ke?
“Sebab… Datuk, jangan kecil hati dengan jawapan saya ni,” pinta Safira. Sekejam-kejam dia, tak sampai hati nak lukakan secara teruk insan yang mengingatkan dia pada arwah tok wan. “Saya tengok Datuk… tak ubah macam saya tengok tok wan saya.” Jujur dan telus jawapan Safira. Wajahnya sudah kelat. Kalaulah dia tak perlu berhadapan dengan situasi sebegini.
“That’s why I choose you Safira.” Datuk tersenyum. Aik! Senyum pula Datuk ni… Safira pening.
“Safira ingat tak… on the interview day, what did you answer for the first question?” Safira mengangguk.
“Kenapa awak nak ditemuduga untuk jawatan bini Datuk? And you answered… saya tak nak pun, tapi kebetulan saya dah termasuk dan dua orang body guard dekat luar tu, tak nak bagi saya keluar. Jadi, saya terpaksalah menghadirkan diri ke dalam bilik ni untuk bagi jawapan yang telus lagi ikhlas supaya… saya tak dapat offer untuk jawatan ni.” Dan jawapan itu bukanlah lahir dari bibir Datuk. Entah siapa. Safira tak kenal. Tapi suara garau itu bagaikan alunan irama yang lembut di corong telinganya. Dia nak kalih… tapi nampak gopoh sangat pula.
“Safira…” Datuk bersuara kembali. “I have choose you… to become my…” ayat Datuk terhenti sekejap. Aduh! Bikin orang suspen saja Datuk ni. Cepat-cepat sikit bagi conclusion. Safira dah tak boleh nak berlama di sini.
“Daughter in law.” Safira terpana. Menantu? Tersedak Safira mendengar ayat itu. Dan apakah, lelaki bersuara garau tadi… bakal suami dia? Siapa dia? Tak sabar pula Safira nak melihatnya.
“Meet your future husband…” Safira sudah berdebar. Betul-betul rasa macam tengah recording drama ni. “Datuk Amriz Fallah Datuk Akhbar Ahmed.” Membulat mata Safira. Anak Datuk pun, berpangkat Datuk juga. Dahsyat sungguh.
“Tak nak tengok ke muka bakal suami awak?” suara garau tadi bersuara kembali. Safira tak tahu apa yang patut dia buat. Panggung wajah, lihat muka lelaki itu. Atau tunduk menekur lantai.
“Safira… tengoklah.” Ucap Datuk seolah memberi semangat padanya. Allah, janganlah dia pengsan buat kali kedua apabila terpandang wajah Datuk Amriz pula. Perlahan-lahan anak matanya bergerak. Berdebar jangan cakap, jantung tinggal nak terloncat keluar saja.
Dan bila mata mereka bertemu. Safira… gelap gelita.
Dalam keadaan separa pengsan itu, jelas telinganya menangkap suara Datuk berpadu dengan suara anaknya.
“Dia memang selalu pengsan ke daddy? We should take her to the hospital.” Nada itu kedengaran risau sekali. Tiba-tiba saja Safira rasa nak tersenyum lebar saja. Aduh, menyempat lagi kau Safira. Ini, kalau mak dapat tahu… bakal menantu dia, Datuk… pengsan juga tak?
“Safira?” suara Datuk memanggilnya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Mukanya panas. Boleh pula kan dia pengsan. Pengsan sebab… muka Datuk Amriz, langsung tak sama macam muka tok wan dia. Sangatlah… rasanya semua pun boleh agak. Mesti nak kata kacak gila. Argh!!! Sudah semestinya. Kacak… bergaya… yang paling utama, dia muda ya! Itu penting tu… tak adalah asal aku pandang, terbayang wajah tok wan pula.
“Awak pengsan kenapa?” soal Datuk Amriz risau sekali. Safira rasa malu sangatlah pula. Selama ni sembang dengan Datuk tak malu macam ni pun. Mungkin sebab… hatinya tak berdebar macam saat ini.
“Sebab Datuk Amriz handsome sangat kot.” Jujur juga jawapan yang keluar dari bibir Safira. Tanpa menunggu sesaat, tawa Datuk dan Datuk Amriz memenuhi ruang bilik itu.
“That’s why I choose her… see, each of her answer, just reflect herself.” Safira tersenyum kecil. Dapat pujian daripada bakal pak mentua, takkanlah tak rasa kembang. Eh..eh…mengaku bakal pak mentua pula. Tak malu kau Safira. Mentang Datuk muda, dan-dan nak suka.
“Daddy… Amriz yang pilih dia. From the first day dia datang nak interview di sini. Daddy cuma tukang uji saja.”
“Iyalah… takkan yang ini pun Amriz nak argue dengan daddy.” Safira diam saja menjadi pemerhati pergaduhan manja antara bapa dan anak.
“So… Safira. Sebagai bakal mentua… I would like to ask you, will you marry my son?” Safira rasa panas wajahnya. Soalan Datuk… macam mana dia nak jawab. Malu!
“Daddy… role daddy, dah the end. Now, let me play the hero role… I’ll propose her on my own style.” Sanggah Datuk Amriz yang sudah tersenyum nakal memandangnya.
****
DINNER dengan Datuk Amriz. Safira awal-awal lagi sudah didandan di sebuah butik tengah-tengah kota. Emak, bila tahu bakal menantu dia, Datuk… yang muda dan sudah tentu, bujang… dengan penuh hemahnya, mak jawab…
“Keputusan dia tangan Safira. Tanya hati Safira… tanya dengan DIA. Jangan pilih sebab dia tu berpangkat, bergaya… tapi kita kena tengok yang utama, iman. Itu yang penting untuk jadi seorang pemimpin keluarga. Mak tak halang siapa pun yang jadi pilihan Safira, tapi memilih tu… biar kerana Allah. Mak akan sentiasa doakan yang terbaik untuk anak mak.” Terharu Safira dengan ucapan emaknya.
Pilih kerana Allah. Adakah ini jodoh dariNYA?
“Cik Safira…” suara gadis mengandamnya menarik perhatiannya pada cermin. Terpapar refleksi dirinya yang sudah dirias. Aku ni nak pergi dinner ke… nak pergi bernikah? Confius dibuatnya.
“Kereta dah menunggu. Datuk Amriz dah tak sabar rasanya nak tengok bakal isteri dia yang comel ni.” Adesss… dia cakap aku comel. Nasib baik dah ada blusher dekat muka.
Keluar saja dari butik, matanya sudah menangkap kelibat Datuk Amriz bersandar pada kereta. Matanya terpaku pada wajah lelaki itu. Kenapalah perlu ada orang sekacak ini. Tak boleh ke, rupa dia biasa-biasa saja… sekurang-kurangnya tak adalah berdebar sangat aku nak pandang.
Pandangan mereka berlaga dan Datuk Amriz sudah tersenyum. Aduh!!! Safira… control yourself. Jangan nak over tak kena gaya.
Lambat-lambat saja dia melangkah mendekati kereta. Datuk Amriz siap bukakan pintu untuk dia. Ah! Semua hero pun akan buat benda tu untuk heroin. Jadi… tolong wahai Intan Safira, berhenti terbang di awangan.
“Dah nak masuk waktu Maghrib… saya booking table pukul lapan. Kita singgah beribadat dulu ya… ambil berkat.” Tenang saja kata-kata itu menyapa telinga Safira. Mujur, dia awal-awal dah ambil wuduk, sebab fikirkan hal inilah. Maghrib singkat. Takkan untuk tujuan dunia, nak tinggalkan tuntutan akhirat pula kan? Satu markah tambahan untuk Datuk Amriz.
Usai menunaikan solat, mereka terus saja bergerak ke destinasi seterusnya.
“Jom!” panggil Datuk Amriz apabila mereka tiba di sebuah restoran yang sungguh unik gayanya. Terpegun Safira. Tak sangka langsung dia akan berpeluang menjejakkan kaki ke tempat eksklusif begini. Nak harapkan duit poket dia sendiri, dalam mimpi sajalah dia datang menjenguk.
Makanan yang terhidang dipandang dengan mata yang bulat. Banyaknya!!! Ini perut tong ke?
“Sebelum kita makan… saya ada something untuk awak.” Lembut saja Datuk Amriz bersuara. Safira… cair! Makin cair.
Datuk Amriz memetik ibu jarinya. Serentak itu lampu menjadi malap. Safira tergamam apabila skrin LCD di depan matanya mula melayarkan wajahnya. Bermula dari sesi temuduga hinggalah ke hari pertemuan mereka secara bersemuka. Bukan setakat gambar saja, siap setiap satunya dicoretkan kata-kata yang indah. Bertambah-tambah terbuai hati Safira apabila gesekan biola mula memenuhi ruang itu. Indah sekali bunyinya. Dan apabila melihat gerangan yang memainkan biola itu… dia tergamam. Datuk Amriz.
Setapak demi setapak, lelaki itu mendekatinya. Dalam sekelip mata lelaki itu sudah melutut di sisinya. Aduh! Kenapa Datuk ni romantik sangat. Kalau dia nak cakap tidak pun, memang akan susah lidah nak menyebutnya.
“I want to lie with you in green pastures, swim with you in fresh blue water, I want to hold you until all times end, I want to know you forever and be your friend. Love me will you, this I ask.” Safira kelu lidah. Dia tidak pernah merasakan sesuatu yang romantik pada tahap ini. Datuk Amriz masih melutut memandangnya dengan pandangan yang cukup istimewa.
“Will you marry me, my love…” romantis sekali. Safira mengetap bibir. Dia malu. Tak tahu nak jawab apa. Ditambah, melihat Datuk Amriz tersenyum kacak membuatkan lidahnya kaku saja.
“Safira…” panggil Datuk Amriz.
“Riz… diam tanda bersetuju. Dia malu nak cakap tu.” Safira terpana. Disangkanya mereka berdua saja di situ. Tetapi… bila dia angkat kepala dan lampu mulai terang. Itu dia… seluruh kerabat dah pun duduk memenuhi meja. Paling tak tersangka… emak sedang tersenyum dari meja bersebelahannya. Di sebelah emak, Datuk juga tersenyum sekali.
“Setuju Safira?” Datuk Amriz menyoalnya lagi. Malu-malu saja Safira mengangguk. Senyuman gembira di wajah Datuk Amriz benar-benar menyentuh jiwanya.
“Mummy… cepat, datang sarung cincin dekat bakal menantu ni.” Sekali lagi Safira terpana. Kiranya wife Datuk ada lagi… tak cemburu ke dia, sebab hari-hari Datuk berdating dengannya.
Wajah wanita yang anggun itu membuatkan Safira tergamam. Jadi inilah wife Datuk. Wanita yang sama yang mengescort dirinya pada hari pertama dia terpilih sebagai calon bini Datuk.
Dan apabila cincin elok tersemat di jari manisnya, sebuah kucupan kasih dari bakal ibu mentua hinggap di pipi. Safira tersenyum gembira. Matanya bertaut dengan wajah emak. Mak… Safi dah lulus temuduga.
Pandangan beralih pada Datuk Amriz yang kelihatan ceria sekali. Dia harus mengucapkan sesuatu.
“Terima kasih Datuk Amriz.” Ikhlas dari hati, dia bersyukur dengan semua ini.
“You’re most welcome my bakal isteri… dan tolong, janganlah panggil bakal suami dengan panggilan Datuk pula… awak tu bakal isteri saya, jadi mulakan praktis ya… sayang ke, abang ke… apa-apa yang sweet dan menyedapkan telinga saya and of course… yang memudahkan lidah awak. Jangan sampai tergeliat pula.” Tergelak Safira mendengar patah kata dari bibir bakal suaminya. Tak ubah macam bertih jagung, bercakap tanpa fullstop.
“Kenapa gelak?” soal Datuk Amriz pelik.
“Awak tu… mulut macam ayam. Bercicit tak henti.” Selamba saja Safira berkata. Membulat mata Datuk Amriz tidak percaya. Namun, akhirnya lelaki itu ikut ketawa sekali.
“I love you Intan Safira, just the way you are.” Makin hangat perasaan Safira yang sememangnya sedang diamuk badai bahagia pada tika itu. Semoga bahagia selamanya. Amin ya Rabb…
Dan tamatlah kisah apabila gadis berusia 25 tahun dinikahkan dengan Datuk Amriz Fallah.
0 cakap-cakap tentang coretan ini:
Post a Comment